Nabi Ayub as


Nabi Ayub as, nabi yang tinggi kesabarannya.
Firman Allah: “Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya).” (Al-Quran Surah. Sod: 44)
Sifat sabar yang ada pada diri Nabi Ayyub a.s. menjadi contoh seantario alam hingga orang sering mengatakan : “Bersabarlah sebagaimana kesabaran Ayyub.
Baginda ternyata, hamba yang tahan uji.
Beliau diperakui sebagai manusia yang paling sabar bahkan  baginda benar-benar telah berada di puncak kesabaran.
Beliau diuji Allah dengan ujian yang tidak pernah ditimpakan ke atas orang lain.
Beliau diuji Allah dengan ujian yang manusia lain tidak mampu menanggungnya.
Setelah diuji dengan pelbagai ujian berat seperti kematian anak, kemusnahan harta, binatang ternak dan tanaman, seterusnya Allah menguji baginda dengan musibah penyakit yang menyebabkan tubuh baginda menjadi lemah tidak berdaya.
Nabi Ayyub sedar semua itu ada ujian Allah ke atas dirinya, maka ia tidak lupa berdoa dan merintih kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT (mafhumnya):
“Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; “Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban.” (Surah Shaad, ayat 41)

Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan sebagaimana ayat di atas adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim.
Tersebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.
Benarkah penyakit Nabi Ayyub itu ada kena mengena dengan gangguan syaitan?
Dr Harun Din berkata:
“…Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal. Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti. Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu. Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah. Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka…”.
Bagaimanakah cara Allah menyembuhkan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub a.s?
Ada dua cara.
1. Dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s.
Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:
“Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi.
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya…..(hingga akhir ayat)” (Surah al-Anbiya ayat 83-84)
2.  Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu.
3.  Ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya.
Dengan mengikuti cara sedemikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.